Zuliaty Zulkiffli

POLIS masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti identiti dua mayat yang ditemui dalam kereta di Sungai Lana Bulu, Megat Dewa, Jitra, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mayat lelaki dan wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 8.30 malam memaklumkan ternampak seakan-akan tayar di dalam sungai berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, pegawai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu ke tempat kejadian dan menemui sebuah kereta jenis Proton Saga FLX warna merah disyaki terbabas jatuh ke dalam sungai di situ," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, pemeriksaan awal mendapati, terdapat dua mayat iaitu lelaki dan wanita di dalam kereta itu yang masih belum diketahui identiti mereka.

Beliau berkata, dengan kerjasama anggota dari Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Kedah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), usaha mengeluarkan kedua-dua mayat mengambil masa hampir tiga jam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu boleh menghubungi talian 04-9172222 cawangan trafik.

"Proton Saga itu dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Ismail berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian berlaku.

Harian Metro melaporkan dua mayat ditemui dalam sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai terjunam dalam Sungai Lana Bulu, Megat Dewa, malam tadi.

Berita berkaitan:

  • Identiti mangsa belum dikenal pasti
  • Dua maut kereta terjunam dalam sungai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 11:36 AM