MANGSA hampir lemas selepas kereta terjunam ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah dekat Bota, semalam. FOTO ihsan pembaca
MANGSA hampir lemas selepas kereta terjunam ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah dekat Bota, semalam. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


"SAYA terkejut dan menjangka pasti ada musibah apabila remaja perempuan itu menahan kereta untuk meminta bantuan dalam keadaan basah kuyup," kata Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31.

Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat Muhammadiah, Hutan Melintang itu individu yang menyelamatkan empat remaja perempuan berusia 18 tahun yang hampir lemas dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah dekat Bota, semalam.

Mereka dihanyutkan arus selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi rakan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tali air itu.

Dalam kejadian 12.05 tengah hari itu, seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan dengan menahan kereta dipandu Muhammad Nor Imran pada 12.20 tengah hari.

Muhammad Nor Imran berkata, dia dalam perjalanan pulang ke Hutan Melintang sebelum terkejut melihat seorang remaja perempuan dalam keadaan basah kuyup dan cemas menahan keretanya.

"Melihat keadaan itu, saya dapat mengagak pasti ada musibah yang berlaku dan terus berhenti sebelum dimaklumkan kejadian.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus ke tepi tebing dan melihat dua mangsa sudah dibawa arus agak jauh, malah seorang sudah tidak sedarkan diri manakala dua lagi sedang berpaut pada kayu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia terus terjun ke dalam tali air dan menyelamatkan dua remaja perempuan yang sedang bergelut dengan arus sebelum berenang semula untuk menyelamatkan dua lagi rakan mereka.

"Air di tali air itu dalam dan ketika itu juga arus agak kuat. Tidak lama selepas itu ada pasangan suami isteri turut membantu memberi bantuan pernafasan kepada mangsa.

"Ketika itu saya memang tak fikir banyak, di fikiran hanya memikirkan nyawa mangsa saja dan mahu segera menyelamatkan mereka, malah penat berenang juga tidak terasa ketika itu," katanya.

Katanya, dia mula berasa penat apabila berada di tebing selepas semua mangsa berjaya diselamatkan.

"Saya rasa kepenatan yang berbaloi apabila melihat semua remaja itu dalam keadaan selamat.

"Mereka kelihatan penat dan trauma, namun saya bersyukur semua selamat serta dapat membantu kerana jarak tebing dengan jalan agak tinggi dan menyukarkan pengguna jalan raya menyedari kejadian.

"Biarpun tidak mengenali mereka, namun sudah menjadi tanggungjawab untuk membantu mereka dalam kesusahan," katanya memaklumkan semua mangsa sudah dibawa ke hospital oleh keluarga masing-masing.

Terdahulu, video guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu yang berjaya menyelamatkan empat mangsa terbabit tular di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:12 PM