Anggota bomba di pusat operasi SAR dua beradik dikhuatiri lemas di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang hari ini. Foto Ihsabn JBPM
Anggota bomba di pusat operasi SAR dua beradik dikhuatiri lemas di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang hari ini. Foto Ihsabn JBPM
Samadi Ahmad


“SAYA sedih dan terkilan kerana gagal selamatkan kedua kanak-kanak itu, walaupun mereka sempat berpaut pada badan saya,” kata Muhd Imran Rusly, 19, pemuda yang sempat menyelamatkan empat kanak-kanak daripada lemas dalam kejadian di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang dekat Sepang hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, dua beradik iaitu Siti Nuralya Mohd Zainal, 11, dan abangnya, Muhammad Hafiz, 14, dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus.

Muhd Imran berkata, dia menghadiri majlis kenduri kahwin di taman perumahan berdekatan pantai berkenaan sebelum tergerak hati untuk bersiar-siar di kawasan itu.

Pekerja sebuah kilang di Puchong itu berkata, pada awalnya dia melihat kumpulan remaja dan kanak-kanak terbabit mandi di muara sungai berkenaan.

Menurutnya, tidak lama kemudian dia terdengar jeritan meminta tolong daripada kumpulan kanak-kanak terbabit kerana paras air ketika itu semakin naik dan mereka tidak sempat untuk ke tebing menyelamatkan diri.

“Tanpa berfikir panjang, saya terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka dan saya dapati tiga daripada mereka berpaut pada pelampung, seorang di belakang saya dan dua lagi berpaut pada badan.

“Disebabkan air semakin naik dan arus kuat, pernafasan saya juga tidak stabil menyebabkan kedua-dua mangsa yang berpaut itu terlepas dan hanyut.

“Ketika menyelamatkan empat kanak-kanak itu, saya dibantu oleh seorang pengunjung pantai membawa mereka ke tebing.

“Saya tak berani menyambar mangsa kerana bimbang turut lemas arus semakin deras dan paras air juga tinggi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, kedua mangsa bersama ahli keluarganya serta sepupu berkunjung ke pantai peranginan itu sempena cuti umum Hari Kebangsaan.

Empat mangsa terselamat ialah dua adik kepada mangsa hilang serta dua sepupu mereka yang sempat menyelamatkan diri.

Sehingga 8 malam tadi, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal menemui dua beradik terbabit.

Susulan itu, operasi SAR kedua-dua mangsa membabitkan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan bersambung pada 7 pagi esok.

Berita berkaitan

Dua beradik dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 10:26 PM