LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG daripada lima mangsa yang hampir lemas dalam tali air di Kilometer 28 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap berhampiran Kampung Teluk Sena dekat Bota, semalam masih dirawat di hospital.

Kelima-lima remaja perempuan berusia 18 tahun itu dihanyutkan arus deras selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tali air berkenaan.

Bagaimanapun, seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan daripada pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, seorang mangsa masih berada dalam pemantauan di Hospital Teluk Intan, namun keadaannya stabil.

"Empat mangsa lain tidak mengalami kecederaan termasuk pemandu kereta terbabit dan kelima-lima mangsa adalah pelajar.

"Siasatan mendapati mangsa dari Seri Iskandar mahu ke Changkat Lada, namun Proton Iswara dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam tali air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, remaja perempuan yang juga pemandu kereta itu sudah hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk diambil keterangan, hari ini.

Katanya, kompaun RM1,000 akan dikeluarkan kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Berdasarkan peraturan itu, mana-mana yang memandu kenderaan persendirian boleh membawa penumpang, dan penumpang itu hendaklah orang yang tinggal serumah dengannya.

"Saman turut dikeluarkan kepada pemandu mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 166/59," katanya.

Berita berkaitan

Gadai nyawa selamat empat remaja hampir lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 7:42 PM