Nor Amalina Alias


SEORANG remaja dikhuatiri lemas di tali air berhampiran Madrasah Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kampung Dendang, Ketereh di Kota Bharu, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.37 petang itu, mangsa, Thanakorn Prasongkun, 17, dipercayai lemas selepas menyelamatkan rakan baiknya yang terjatuh di tali air itu ketika membasuh kaki.

Rakan mangsa, Aaron Kuaxian Fan, 15, berkata, sebelum kejadian malang itu berlaku, dia dan Thanakorn serta tiga lagi rakan mandi-manda di tali air berkenaan.

"Selepas siap mandi, kami naik ke darat untuk pulang dan saya cuba cuci kaki, namun tergelincir kerana terpijak tebing tali air yang licin, lalu saya lemas.

"Thanakorn terus terjun menyelamatkan saya dan mengangkat saya naik ke tebing, saya sempat pegang tangan dia sebelum dia tenggelam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di Kota Bharu, hari ini.

Aaron berkata, mereka berlima tinggal di kawasan perumahan berhampiran tali air itu dan sering menghabiskan masa bersama.

 AARON menceritakan semula kejadian Thanakorn ketika menyelamatkannya. FOTO Nor Amalina Alias
AARON menceritakan semula kejadian Thanakorn ketika menyelamatkannya. FOTO Nor Amalina Alias

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.51 petang.

Katanya, seramai 16 anggota bomba termasuk lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu dan tiga pegawai ke lokasi lemas.

"Lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut membantu.

"Pencarian dimulakan di kawasan tengah tali air di lokasi terakhir mangsa dilihat, berdasarkan keadaan tali air, kita anggarkan kedalaman kira-kira 15 meter kerana difahamkan tali air ini baru saja diselenggara," katanya.

Setakat ini, mangsa belum ditemui dan operasi pencarian akan disambung pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 9:51 PM
LOKASI, Thanakorn dipercayai lemas selepas menyelamatkan rakan baiknya yang tergelincir di tebing tali air berhampiran Madrasah Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kampung Dendang, Ketereh. FOTO Nor Amalina Alias
LOKASI, Thanakorn dipercayai lemas selepas menyelamatkan rakan baiknya yang tergelincir di tebing tali air berhampiran Madrasah Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kampung Dendang, Ketereh. FOTO Nor Amalina Alias