Noor Hidayah Tanzizi


"SAYA mewakili tiga rakan lain berterima kasih kepada Ustaz Imran, abang Naim dan kak Fazilah kerana sudi membantu kami pada hari kejadian," kata Norsatina Mat Salleh,18.

Norsatina adalah seorang daripada empat remaja perempuan yang hampir lemas dalam tali air di Kilometer 28 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, Kampung Gajah dekat Bota pada 27 Mei lalu.

Norsatina dan tiga lagi rakannya diselamatkan oleh guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31, dan pasangan suami isteri, Amirul Naim Harun, 27, dan Nurul Fazilah Mohd Nazarudin, 27.

Norsatina berkata, ketika diselamatkan dia sedar kehadiran beberapa individu namun gagal mengecam wajah mereka sebelum dibawa ke hospital.

"Ketika kejadian saya tidak sedarkan diri dan dihanyutkan arus deras namun bersyukur Allah hadirkan insan yang sudi membantu kami. Saya dirawat di hospital selama lima hari dan memang mahu berjumpa mereka yang menyelamatkan kami.

"Tanpa ketiga-tiga individu ini saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada kami dan saya menganggap ini adalah peluang kedua untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Norsatina ditemui ketika menziarahi Muhammad Nor Imran dirumahnya di Hutan Melintang, hari ini.

Hadir sama, tiga lagi rakannya iaitu Nur Ezzhaty Azzwa Halim, Nur Julita Aisyah Ramlee dan Nurul Farhah Hazirah Rosli bersama keluarga masing-masing.

Dalam pertemuan itu, Norsatina turut membuat panggilan video dengan pasangan suami isteri terbabit yang berada di Shah Alam, Selangor.

"Saya bersyukur mereka membantu kami terutama abang Naim yang memberi bantuan pernafasan kepada saya. Saya bukan lagi terhutang budi tetapi terhutang nyawa.

"Apa yang mereka bertiga lakukan tidak akan dilupakan sepanjang hidup ini, hanya Allah yang dapat membalas jasa itu," katanya.

(DARI KIRI) Nur Julita Aisyah, Norsatina, Muhammad Nor Imran, Nur Ezzhaty Azzwa dan Nurul Farhah Hazirah. FOTO Ihsan Keluarga
(DARI KIRI) Nur Julita Aisyah, Norsatina, Muhammad Nor Imran, Nur Ezzhaty Azzwa dan Nurul Farhah Hazirah. FOTO Ihsan Keluarga

Sementara itu, Amirul Naim berkata, dia tidak menyangka mangsa dan Muhammad Nor Imran akan mencarinya semula kerana baginya apa yang dilakukan itu ikhlas dan tidak mengharap sebarang balasan.

"Ketika kejadian berlaku saya bersama isteri dalam perjalanan pulang ke rumah di Changkat Lada selepas membuat permohonan rentas negeri untuk pulang ke Shah Alam dan terjumpa seorang mangsa di tepi jalan.

"Selepas mengetahui kejadian itu saya segera ke tebing manakala isteri menenangkan mangsa dan memberi arahan kepada mangsa lain dari atas kerana dia sedang mengandung tiga bulan," katanya.

Dia dan isteri yang mempunyai sijil bantuan awal pertolongan cemas itu turut mengakui terharu dengan kesungguhan mangsa dan Muhammad Nor Imran yang mencari mereka.

Dalam pada itu, Muhammad Nor Imran juga terharu dapat bertemu dengan empat mangsa terbabit dan dapat menghubungi pasangan suami isteri itu.

"Kisah ini mungkin sudah tamat tetapi silaturahim antara kami akan terus berkekalan," kata bapa tunggal kepada seorang anak perempuan itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, empat remaja terbabit dihanyutkan arus selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi rakan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tali air dalam kejadian pada 12.05 tengah hari itu.

Berita berkaitan

Guru KAFA terima penghargaan [METROTV]

Pengorbanan Ustaz sukar dibalas...

Ustaz Imran cari suami isteri bantu remaja lemas

Gadai nyawa selamat empat remaja hampir lemas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 3:21 PM