PELBAGAI jenis dadah selain wang tunai bernilai RM11,065 berjaya dirampas oleh Batalion 5 Pasukan Gerak Am Simpang Renggam dalam serbuan di Jeti Nelayan Parit Lapis Api-Api, petang semalam. FOTO ihsan PGA
PELBAGAI jenis dadah selain wang tunai bernilai RM11,065 berjaya dirampas oleh Batalion 5 Pasukan Gerak Am Simpang Renggam dalam serbuan di Jeti Nelayan Parit Lapis Api-Api, petang semalam. FOTO ihsan PGA
Togi Marzuki


DUA pengedar dadah ditahan bersama pelbagai jenis barang terlarang terbabit selain wang tunai pada dua serbuan berasingan di kawasan jeti nelayan Parit Lapis Api-Api di sini, petang semalam.

Penahanan serta rampasan dibuat Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Dimin Awang berkata, pada serbuan pertama 5.30 petang, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

"Pemeriksaan menemui dadah jenis syabu seberat 3.81 gram, 520 biji Eramin 5, 50 biji ekstasi dan wang RM285. Keseluruhan rampasan, termasuk wang tunai, berjumlah RM3,755.

"Pada serbuan lain di lokasi sama, kami menahan suspek kedua yang juga lelaki berusia 32 tahun bersama syabu seberat 102.70 gram, heroin seberat 37.67 gram, 560 biji Eramin 5 dan wang RM510," katanya pada kenyataan hari ini.

Jumlah keseluruhan rampasan membabitkan suspek kedua ialah RM7,310.

Dimin berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 1:34 PM