SEBAHAGIAN tukang urut warga asing yang ditahan dalam operasi noda di sekitar, Setapak.
SEBAHAGIAN tukang urut warga asing yang ditahan dalam operasi noda di sekitar, Setapak.
Oleh Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Anjur sambutan majlis hari jadi di bilik hotel dengan dadah syabu dijadikan ‘menu’ hidangan istimewa kepada semua tetamu yang hadir.

Bagaimanapun kemeriahan sambutan acara itu disertai lapan lelaki dan empat wanita tempatan itu tidak bertahan lama apabila bilik hotel disewa di Jalan Pudu di sini, diserbu polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Hasil serbuan itu, polis menemui satu peket plastik lut sinar berisi dadah syabu seberat 0.62 gram.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, serbuan berkenaan adalah hasil risikan dan maklumat berhubung tindakan sekumpulan individu menyewa bilik hotel itu untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Semua suspek yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan di dua bilik di hotel sama turut mengesan dua kumpulan yang menyewa bilik semata-mata untuk mengadakan pesta dadah,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di bilik kedua mendapati tiga lelaki tempatan dan empat wanita warga Vietnam sedang berpesta dadah.

“Kami menemui dadah syabu seberat 1.26 gram, ecstacy seberat 3.87 gram, Eramin 5 seberat 0.56 gram dan ketamin seberat 1.10 gram.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati seorang lelaki positif syabu, dua lelaki positif ganja dan empat wanita Vietnam positif syabu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di bilik ketiga pula mendapati tiga lelaki tempatan, seorang lelaki warga Korea dan seorang lelaki warga Britain ‘berpesta’ dadah ekstasi seberat 1.62 gram serta Eramin seberat 1.65 gram.

“Ujian air kencing menunjukkan semua yang ditahan positif dadah jenis syabu. Semua 24 suspek ditahan di ketiga-tiga bilik itu akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 7:05 AM