Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

WANITA berusia 56 tahun yang pulang dari Singapura disahkan dijangkiti Covid-19 di Johor, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, wanita berkenaan didapati positif selepas menjalani saringan di Hospital Permai, Johor Bahru.

"Wanita warga Malaysia itu baharu sahaja pulang dari Singapura selepas tinggal bersama anaknya di republik berkenaan.

"Kes baharu jangkitan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Johor sebanyak 671 kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, daripada jumlah 671 kes itu, 74 kes dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor sebagai masih aktif.

"Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan semalam yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Johor kekal 19 orang," katanya.

Beliau berkata, ketika pandemik Covid-19 ini, kesejahteraan minda, emosi dan psikologi masyarakat perlu dikekalkan.

Katanya, masyarakat harus memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran minda sihat, termasuk mengamalkan 10 B iaitu bersyukur, bernafas dengan dalam (deep breaths), bicara diri (sebut 'relekslah'), berkongsi perasaan dengan orang lain, beribadat, berehat dan mendengar muzik, berurut, beriadah, bersenam dan berfikiran positif.

Beliau berkata, rakyat Johor yang mempunyai isu berkaitan kesihatan mental, boleh menghubungi pasukan Sokongan Psikososial dan Kesihatan Mental (MHPSS) negeri Johor di talian 07-2311027 yang beroperasi pada Ahad sehingga Rabu dari 8 pagi hingga 5 petang dan Khamis dari 8 pagi hingga 3.30 petang yang diselia oleh JKNJ.

"Mereka juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia atau di aplikasi Telegram Pasukan MHPSS Johor https://t.me/MHPSSJohor," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 4:20 PM