GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sebanyak 841 kes Covid-19 pulih daripada jumlah keseluruhan 921 kes yang dilaporkan di negeri ini, sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan itu turut merangkumi 21 kematian dan 59 kes aktif yang sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

Katanya, terdapat dua kes baharu yang dilaporkan semalam iaitu satu kes dikesan dari kes SARI dan satu kes dikesan hasil saringan kontak rapat.

"Jumlah kluster aktif di Johor kekal sebanyak empat iaitu Kluster Meldrum (tujuh kes), Kluster Bayu (lapan kes), Kluster Kempas (54 kes) dan Kluster Rinting (10 kes). Tiada pertambahan kes bagi kluster aktif.

"Isnin lalu, Menteri Kanan Pertahanan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kepada Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru, yang terbabit dengan Kluster Kempas.

"Sehingga semalam, kumulatif kes positif bagi kluster ini kekal sebanyak 54 kes. Jumlah penghuni yang disaring setakat ini adalah sebanyak 1,291 manakala terdapat 512 orang di luar ILKKMJB yang sudah disaring," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan sedang giat meneruskan aktiviti survelans sedia ada juga aktiviti saringan kontak kluster-kluster sedia ada, justeru dijangkakan bahawa peningkatan kes dalam masa terdekat ini akan terus berlaku hasil daripada aktiviti ini.

"Diharapkan semua pihak dapat bertenang dan tidak menimbulkan panik dengan menyebarkan maklumat yang kurang tepat.

"Beri laluan kepada jabatan yang berkaitan untuk melakukan tugas mereka tanpa halangan, supaya tidak menyukarkan mereka dalam melakukan tugas dengan berkesan.

"Walaupun zon merah diisytiharkan di daerah Johor Bahru, masyarakat dinasihatkan supaya tidak panik kerana kebanyakan kes yang dilaporkan adalah dari kluster sedia ada dan hanya tertumpu kepada penularan dalam keluarga dan tempat kerja ahli keluarga mereka.

"Institusi tempat kerja yang terbabit sudah diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian justeru dijangkakan tiada penularan di dalam komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 2:52 PM