GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa agensi menyeru supaya pemberian vaksin bagi campak dan penyakit lain dipertingkatkan di seluruh dunia selepas Covid-19 mengganggu akses kepada suntikan vaksin berkenaan.

WHO bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pakatan Vaksin Gavi berkata, strategi global baharu mereka berpotensi menyelamatkan 50 juta nyawa dalam tempoh kurang sedekad.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu kenyataan berkata, untuk mengelakkan pelbagai penyakit yang mengancam nyawa seperti campak, demam kuning dan difteria, perkhidmatan imunisasi rutin mesti dilindungi di setiap negara.

Seruan itu dibuat ketika pandemik Covid-19 terus mengganggu perkhidmatan kesihatan penting di seluruh dunia.

Walaupun keadaan bertambah baik daripada tahun lalu, tinjauan WHO menunjukkan lebih satu pertiga negara masih mengalami gangguan terhadap perkhidmatan imunisasi rutin mereka.

Menurut kenyataan itu, kira-kira 60 kempen imunisasi kini ditangguhkan di 50 negara, menjadikan kira-kira 228 juta orang, kebanyakannya kanak-kanak, berisiko terkena penyakit seperti campak dan polio.

"Berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia cenderung kehilangan vaksin asas kerana pandemik mengancam selama dua dekad dalam imunisasi rutin," kata ketua Gavi, Seth Berkley.

UNICEF berkata, gangguan akibat Covid-19 secara dramatik mengganggu dos vaksin yang diberikan tahun lalu kepada 2.01 bilion, berbanding 2.29 bilion pada 2019.

Pengarah Eksekutifnya, Henrietta Fore, menegaskan bahawa sebelum pandemik itu lagi, terdapat tanda yang membimbangkan bahawa dunia mulai kehilangan asas dalam memerangi penyakit kanak-kanak yang boleh dicegah.

Katanya, sebelum krisis pandemik, kira-kira 20 juta kanak-kanak sudah kehilangan vaksin kritikal, dan pandemik membuatkan keadaan menjadi lebih buruk.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 9:02 PM