Amran Yahya


"SAYA anak jati Negeri Sembilan dan bukannya budak 'Negeri Sembilan celup'," kata Intan Amira Marzuhidin.

Video wanita berusia 30 tahun mirip wajah kacukan itu tular di media sosial ketika mempromosikan gula enau dan dia sebenarnya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Katanya, dialek Negeri Sembilan diucapkan ketika mempromosikan gula enau itu bukanlah dibuat-buat, malah bahasa itulah yang menjadi pertuturan sehariannya bersama keluarga.

"Ibu saya berasal dari Kampung Pelangai, Kuala Pilah manakala ayah dari Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilah dan saya tidak kekok kerana dialek ini sebati dengan saya.

"Ada netizen mengatakan saya budak 'Negeri Sembilan celup' dan berambut perang dan dialek dituturkan pula seperti dibuat-buat.

"Namun, bagi saya semua itu adalah usikan dan gurauan semata-mata dan tidak pernah mengambil hati," katanya.

Intan Amira yang kini menetap di Seremban bersama suami, Mohd Iskandar Md Akram, 32, serta dua anak lelakinya, Hang Tuah, 6, dan Hang Jebat, 2, berkata, dia serta keluarga pulang ke Kuala Pilah dan kini terperangkap akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Terperangkap terlalu lama menyebabkan kami hilang punca pendapatan dan terpaksa berikhtiar untuk mencari wang.

"Ketika Ramadan, gula enau begitu popular terutama untuk juadah berbuka puasa seperti pengat, bubur, buah Melaka (onde-onde) dan macam-macam lagi.

"Justeru, kami mengambil keputusan untuk menjual gula enau 'ori' (asli) diambil dari seorang rakan dan Alhamdulillah, permintaan amat menggalakkan.

INTAN Amira menunjukkan gula enau asli yang dijualnya ketika tempoh PKP. FOTO Amran Yahya
INTAN Amira menunjukkan gula enau asli yang dijualnya ketika tempoh PKP. FOTO Amran Yahya

"Memang tidak dinafikan, pengalaman saya berniaga melalui dalam talian serta peranan media sosial banyak membantu sehingga gula enau kami mendapat permintaan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Menurutnya, mereka berazam untuk meneruskan perniagaan ini walaupun PKP ditamatkan nanti.

Ada kalangan netizen di media sosial menyamakan wajahnya mirip beberapa artis tempatan, namun ujarnya mungkin itu satu kebetulan dan dia tiada saudara mara dalam kalangan artis.

Sementara itu, Mohd Iskandar berkata, sebagai suami dia tidak pernah ambil hati dengan reaksi netizen terhadap cara isterinya mempromosi gula enau yang kini menjadi punca pendapatannya sepanjang PKP.

"Mula-mula membaca komen netizen, banyak yang kelakar dan kebanyakannya 'menyakat' isteri saya, namun saya anggap semua itu adalah gurauan.

"Dia (Intan Amira) memohon keizinan saya terlebih dahulu sebelum memuat naik video itu.

"Namun, sesuai dengan kemudahan terkini tidak dinafikan media sosial adalah landasan terbaik, mudah dan murah untuk memperkenalkan produk kita.

"Saya berterima kasih kepada semua masyarakat kerana menyokong usaha kami dan berjanji akan memperbaiki segala kelemahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 1:57 PM