Siti Rohana Idris


MOHD Fakri Abdul Aziz, 19, berhenti sekolah ketika di tingkatan dua akibat kesusahan hidup.

Sejak beberapa hari lalu, demi menyara hidupnya, ibu serta adik yang berusia 13 tahun, Mohd Fakri memohon bantuan beberapa individu bagi menyumbang buah-buahan untuk dijual di depan kediamannya.

“Hasil sedikit untung boleh saya gunakan untuk menampung hidup kami bertiga,” katanya yang tinggal di Kampung Bechah di sini.

Untuk rekod, Mohd Fakri kini dianggap ketua keluarga untuk mencari rezeki bagi menampung hidup ibunya, Yamatthana Angkhanwan, 44, dan adik, Nurul Shuhada.

Ketiga-tiganya menghuni bangsal yang dibina tanpa dinding serta bumbung sempurna malah sebahagiannya hanya ditutupi kanvas.

Bangsal itu juga adalah hasil belas ihsan pemilik tanah yang simpati terhadap nasib mereka sekeluarga.

KEADAAN dalam bangsal yang didiami tiga beranak itu sejak lebih setahun lalu selepas berpindah dari rumah sewa. FOTO Siti Rohana Idris
KEADAAN dalam bangsal yang didiami tiga beranak itu sejak lebih setahun lalu selepas berpindah dari rumah sewa. FOTO Siti Rohana Idris

“Sebelum ini, kami berniaga mi celup dan ia hanya bertahan tiga bulan sebelum ditutup akibat Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

“Akibatnya, kami kehilangan punca pendapatan. Selepas membuat permohonan, beberapa individu tampil membantu dengan menyerahkan tembikai, nanas dan buah salak untuk dijual,” katanya yang mula menjual buah-buahan itu sejak tiga hari lalu.

Menurut Mohd Fakri, sejak berhenti sekolah, dia melakukan pelbagai kerja untuk menyara hidup keluarga.

“Sebaik berpindah ke kampung ini lebih setahun lalu, saya melakukan beberapa kerja kampung sebelum mengusahakan mi celup di bahagian depan rumah.

“Perniagaan kami kurang mendapat sambutan dan secara purata, kami hanya memperoleh RM10 hingga RM15 sehari malah kami pernah hanya menerima RM1, itu pun hasil jualan air,” katanya.

Menurutnya, apabila mengetahui PKP akan dilanjutkan, dia memutuskan untuk menjual buah-buahan sebelum menebalkan muka menghubungi beberapa individu bagi memohon bantuan untuk memulakannya.

Mohd Fakri berkata, dia bukan sahaja memerlukan wang untuk perbelanjaan harian, ibunya yang juga ibu tunggal dan adiknya perlu menjalani rawatan selain membeli ubatan untuk penyakit masing-masing.

“Ibu menghidap darah tinggi, kolesterol tinggi dan gastrik manakala adik pula berdepan masalah asma serta penyakit kulit,” katanya.

FAKRI sedang menyusun tembikai di gerainya di Kampung Bechah, di sini yang baharu tiga hari menjalankan pernigaan buah selepas warung mi celupnya terpaksa ditutup berikutan PKP. FOTO Siti Rohana Idris
FAKRI sedang menyusun tembikai di gerainya di Kampung Bechah, di sini yang baharu tiga hari menjalankan pernigaan buah selepas warung mi celupnya terpaksa ditutup berikutan PKP. FOTO Siti Rohana Idris

Menurut, selain menjual buah-buahan, dia juga baru dua hari berniaga air tebu menggunakan mesin perahan tebu dipinjam daripada penduduk kampung.

“Saya bercadang untuk berniaga air tebu sepanjang Ramadan dan berharap ada pihak yang bermurah hati menyumbang mesin perahan tebu,” katanya.

Terdahulu, keluarga itu dikunjungi sukarelawan, Wan Zahari Wan Othman, 50, yang menyerahkan lebih 10 biji tembikai kepada Mohd Fakri bagi dijual.

Wan Zahari berkata, dia dihubungi Mohd Fakri baru-baru ini yang memohon bantuan.

“Mohd Fakri melayari laman sosial Facebook (FB) dan ternampak aktiviti kebajikan untuk asnaf yang kami anjurkan didalamnya. Dia kemudiannya menghubungi saya.

“Saya beli tembikai daripada pembekal di Pasir Pekan, Tumpat dan hantar ke sini. Tak sangka, dalam masa dua hari, Mohd Fakri berjaya menjual 63 kilogram buah-buahan ini.

“Saya tambah lagi tembikai ini untuk dia jual. Saya bersimpati dengan nasib keluarga ini, pada masa sama, saya bangga dengan Mohd Fakri yang sangat bertanggungjawab terhadap dirinya serta keluarga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 3:24 PM