Noorazura Abdul Rahman


PENDUDUK di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap masih beruntung kerana dapat menikmati kuih muih dengan harga hanya 10 sen.

Ini berikutan terdapat sepasang suami isteri di felda berkenaan memilih untuk berniaga sambil beramal jariah demi membantu penduduk setempat.

Roslina Saad, 51, berkata dia dan suami Zulkifli Abdul Razak, 52, mengekalkan harga itu sejak 18 tahun lalu bagi memastikan semua orang dapat menikmati makanan berkenaan pada harga murah selain mengelak berlakunya pembaziran terutama ketika Ramadan.

"Keuntungan sama saja dengan mereka yang berniaga kuih tiga atau empat biji RM1, saya buat saiz yang lebih kecil supaya orang ramai boleh makan semua jenis kuih yang saya jual walaupun di tangan mereka hanya ada RM1.

"Dalam masa yang sama tiada pembaziran berlaku kerana saiznya yang kecil dan mudah dihabiskan," katanya.

Antara kuih muih yang dijual adalah cucur badak, karipap, onde-onde, cucur kacang, keria, buah melaka, lopes dan ketayap.

Bagaimanapun Roslina, berkata sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka menjual kuih dari rumah ke rumah sekitar felda berkenaan apabila kerajaan memutuskan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi.

Katanya, kesemua 3,000 biji kuih yang dijualnya akan habis dalam masa sejam selepas mula berniaga pada jam 4 petang.

Sementara itu, bagi seorang pelanggan, Intan Shafira Abdul Malik, 23, berkata kuih yang dihasilkan Roslina turut dikenali sebagai cucuq sekupang atau cucuq semulut kerana saiznya yang kecil.

"Harga luar biasa yang dijual membantu penduduk felda yang kebanyakkan bergantung kepada hasil getah.

"Jika hujan, peneroka di sini tak dapat keluar menoreh, dengan harga getah yang sangat rendah, cucuq sekupang ini secara tak langsung membantu penduduk berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi," katanya.

ROSLINA Saad menjual 'cucoq sekupang' dari rumah ke rumah menggunakan pacuan empat roda yang dipandu suaminya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ROSLINA Saad menjual 'cucoq sekupang' dari rumah ke rumah menggunakan pacuan empat roda yang dipandu suaminya. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 11:00 AM