GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan enam lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Jalan Tebing Timur, Jinjang Utara, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pergaduhan itu yang membabitkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di lokasi berkenaan jam 9.32 malam.

"Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Jinjang bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berusia 24 tahun terbaring di jalan dalam keadaan cedera parah sebelum dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki dikenali mangsa yang berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadapnya," dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, mangsa pertama masih menerima rawatan di Hospital Selayang akibat luka dikelar pada badan, tangan dan kaki, manakala mangsa kedua mengalami luka kecil serta sakit di kepala.

"Hasil maklumat dan risikan di lokasi kejadian, kami berjaya menahan enam lelaki berusia antara 21 hingga 24 tahun yang disyaki terbabit dalam kes ini.

"Kami turut merampas sebuah motosikal, satu topi keledar, satu kayu dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati tiga daripada enam suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah termasuk kes narkotik dan jenayah kekerasan.

"Semua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 14 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di ibu kota ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 1:05 AM