RAKAMAN video pergaduhan sekumpulan lelaki di parkir Rumah Pangsa DBKL di Setapak Jaya, Kuala Lumpur. FOTO tular
RAKAMAN video pergaduhan sekumpulan lelaki di parkir Rumah Pangsa DBKL di Setapak Jaya, Kuala Lumpur. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan enam lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan di parkir Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Setapak Jaya, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial berkaitan kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di parkir di pusat bandar ini, hari ini.

"Semakan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku pada 22 Ogos lalu kira-kira jam 7 pagi di parkir Rumah Pangsa DBKL di Setapak Jaya.

"Dalam kejadian itu, suspek yang terdiri daripada enam lelaki dipercayai bersenjatakan 'padlock', topi keledar dan pisau memukul mangsa iaitu dua lelaki di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, kejadian terbabit dirakam penduduk di kawasan berkenaan dan rakaman video itu kemudian ditularkan di media sosial.

"Pihak polis sedang mengesan suspek yang masih bebas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Emilia Jamil di talian 016-2479017 atau pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan S Gopal di talian 012-5120242.

"Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, video pergaduhan sekumpulan lelaki itu tular di media sosial, hari ini.

Dalam rakaman video itu, kelihatan sekumpulan lelaki membelasah dua lelaki di lokasi berkenaan sebelum kesemua mereka dilihat beredar dari lokasi itu beberapa minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 5:40 PM