RAKAMAN video beberapa individu menendang pintu rumah serta merosakkan cermin tingkap sebuah kediaman di sebuah blok di PPR Batu Muda. FOTO tular
RAKAMAN video beberapa individu menendang pintu rumah serta merosakkan cermin tingkap sebuah kediaman di sebuah blok di PPR Batu Muda. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan 14 lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jinjang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 malam tadi.

"Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi menahan 14 lelaki berusia 20 hingga 54 tahun yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan sekumpulan lelaki yang merakam video pertengkaran suami isteri yang tinggal di flat berkenaan.

"Tindakan mereka merakam video itu disedari individu lain yang menegur perbuatan berkenaan, namun teguran itu berakhir dengan pertengkaran termasuk mengeluarkan kata-kata kesat, tolak-menolak serta pergelutan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, 10 daripada 14 suspek direman selama empat hari, manakala empat lagi direman satu hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

"Semakan dilakukan mendapati 11 daripada 14 suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah, manakala empat lagi tiada sebarang rekod.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga kesejahteraan serta keharmonian kaum.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Terdahulu, beberapa rakaman video yang menunjukkan beberapa individu yang menendang pintu rumah serta merosakkan cermin tingkap di sebuah blok di PPR Batu Muda, Jinjang, di sini, tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 3:41 PM