RUMAH penduduk Kampung Dew dilanda banjir. FOTO BernamaANI AWANG
RUMAH penduduk Kampung Dew dilanda banjir. FOTO BernamaANI AWANG
BERNAMA

Ipoh: Dua pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Larut, Matang dan Selama kira-kira 70 kilometer dari sini berikutan banjir kilat akibat hujan lebat tanpa henti sejak petang semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Perak, 118 penduduk daripada 29 keluarga kini berada di pusat pemindahan berkenaan setakat 12 tengah hari tadi.

Kenyataan sekretariat itu menyebut, 96 orang ditempatkan di surau Kelip-Kelip Kampung Dew dan di Surau Ar-Rahmahniah seramai 22 orang.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Dew mendapati kebanyakan penduduk tidak sempat memindahkan barangan di dalam rumah termasuk perabot disebabkan banjir naik dengan cepat.

Ketua Kampung Air Puteh, Rosli Ishak, 56, berkata, air banjir memasuki rumah penduduk kira-kira 7 malam tadi selepas hujan 4 petang sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Sepetang.

"Hujan lebat di ulu dan air pasang menjadi punca air melimpah dan memasuki rumah penduduk sehingga sedalam 0.5 meter," katanya.

Seorang lagi mangsa, Salasiah Ariffin, 66, berkata, air naik dengan cepat sehingga beliau dan keluarga tidak sempat memindahkan peralatan dalam rumah.

"Air mula memasuki rumah saya pada 6 petang dan mula memenuhi rumah sebelum berpindah atas arahan demi keselamatan," katanya.

Penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan turut berpuas hati dengan makanan dan kemudahan yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 1:59 PM