GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fazrik Kamarudin


HUJAN lebat sejak petang tadi menyebabkan Kampung Periuk di Kampung Baru, Kuala Lumpur dinaiki air sehingga memaksa beberapa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Ini adalah kali kedua penduduk kampung terbabit berpindah dalam tempoh kurang sebulan dengan kali terakhir kediaman mereka dinaiki air pada 17 Oktober lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Aziana Hizazi berkata, pihaknya menggerakkan satu pasukan untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir yang terbabit.

"Kami terima maklumat mengenai insiden banjir di Kampung Periuk, Kampung Baru pada 9.20 malam.

"Satu pasukan dikerah ke lokasi bagi membantu proses pemindahan di pusat pemindahan sementara yang dibuka di Kelab Sultan Sulaiman. Setakat ini sebanyak empat keluarga terpaksa berpindah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beberapa kawasan di Lembah Klang turut dilaporkan dinaiki air akibat hujan lebat, 5 petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan beberapa lokasi di ibu kota, Kota Damansara, Sungai Buloh dan Rawang dilanda banjir kilat.

Beberapa jalan utama turut dinaiki air menyebabkan kesesakan trafik di beberapa kawasan terutama di Sungai Buloh.

Antara laluan yang dinaiki air adalah Jalan Pudu Ulu, Jalan Cheras, Jalan Pudu Perdana, Jalan Datuk Keramat, Jalan Wirawati dan kawasan berhampiran PPR Hiliran Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 11:29 PM