ROSIDAH. FOTO Roselan Ab Malek
ROSIDAH. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Raub: "Saya menyuruh anak lelaki mendukung ayah saya untuk dibawa ke rumah kakak yang terletak di tempat lebih tinggi walaupun terpaksa meredah air dalam gelap."

Begitu kata Rosidah Abdul Razak, 50, antara 30 keluarga di Kampung Kundang Patah, di sini, yang terpaksa dipindahkan akibat banjir melanda berikutan hujan lebat sejak 11 malam semalam.

Rosidah berkata, setiap kali hujan lebat berpanjangan, dia akan berasa risau kerana rumahnya sering dinaiki air dan tidak menyangka kejadian sama berulang.

"Malam tadi air mula naik setinggi 0.5 meter dan memasuki rumah pada 1 pagi. Barang-barang pun tidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan cepat.

"Apabila air naik mendadak, saya semakin cemas lalu berpakat dengan anak untuk berpindah, tetapi ayah saya berusia 81 tahun tidak mahu berpindah kerana dia tidak larat sebelum dia dipindahkan ke rumah kakak.

"Syukur kami selamat walaupun tidak dapat menyelamat barang kerana air naik begitu cepat dan deras," katanya.

Rosidah berkata, dia berpindah ke kawasan masjid dalam keadaan sehelai sepinggang sambil meredah air yang deras.

Katanya, banjir sering berlaku di kampung itu kerana benteng Sungai Lipis di situ dipercayai sudah pecah.

"Ini bukan kali pertama berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat berpanjangan, sudah banyak kali. Tahun ini sahaja sudah dua kali.

"Pernah satu tahun itu saya terpaksa berpindah empat kali dalam setahun dan berharap kerajaan dapat baiki semula benteng dan mendalamkan sungai itu agar banjir tidak berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam Datuk Abd Aziz Mat Kiram berkata, hujan lebat kira-kira empat jam menyebabkan banjir melanda beberapa kawasan di daerah ini apabila air Sungai Lipis naik mendadak.

Menurutnya, seramai 241 mangsa daripada 63 keluarga terpaksa dipindahkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah itu sejak malam semalam.

Katanya, seramai 30 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kundang Patah, Dewan Serbaguna Kampung Pia (16 keluarga) dan Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai (sembilan keluarga).

"Manakala, PPS Masjid Kampung Kuala Semantan pula menempatkan lima keluarga, Balai Raya Kampung Gesing, Balai Raya Kampung Sengkela dan Dewan Orang Ramai Kampung Chenua masing-masing menempatkan sebuah keluarga.

"Kita percaya banjir kilat berlaku disebabkan Ssungai Lipis semakin cetek kerana banyak berlaku mendapan selain terdapat halangan menyebabkan aliran air menjadi lambat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 6:08 PM