PASAR Awam Bahau.
PASAR Awam Bahau.
Abnor Hamizam Abd Manap


PEJABAT Kesihatan Daerah (PKD) Jempol menjalankan ujian saringan koronavirus baharu (Covid-19) terhadap 60 peniaga Pasar Awam Bahau di Medan Niaga Bahau bermula 8 pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, ujian saringan diadakan berikutan seorang peniaga di pasar berkenaan positif Covid-19 pada 24 April lalu.

Katanya, penjual sayur yang berisiko dan mengambil bekalan dari Pasar Borong Selayang, berurusan terus dengan pesakit di bawah siasatan (PUI) serta berniaga di lot berhampiran dengan PUI diasingkan bagi sesi soal siasat oleh PKD Jempol.

"Bagi peniaga yang tidak berurusan secara langsung dengan PUI akan diberi penerangan berkaitan penutupan Pasar Awam Bahau, selain mengambil maklumat tambahan bagi membantu siasatan.

"Dalam mesyuarat pengurusan bencana daerah pagi tadi, kita juga bersetuju untuk menghantar kontak rapat dengan pesakit yang dikenali pasti terus ke pusat kuarantin bagi memudahkan mengawal pergerakan individu berkaitan," katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh; Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) Raja Norazli Raja Nordin.

Dalam perkembangan lain, Kok Seong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya aktiviti perniagaan berhampiran Pasar Awam Bahau ditutup selama 14 hari bermula Rabu ini.

Katanya, ia membabitkan pasar ayam, Medan Niaga Bahau dan kedai berhampiran dengan Pasar Awam Bahau.

Semalam, media melaporkan Pasar Awam Bahau ditutup selama 14 hari selepas seorang peniaganya disahkan positif Covid-19 pada 24 April lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 1:13 PM