OP sepadu polis IPD Jempol bersama agensi lain sekitar Bahau malam tadi. FOTO Abnor Hamizam
OP sepadu polis IPD Jempol bersama agensi lain sekitar Bahau malam tadi. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


YAKIN pelanggan yang datang sihat dan mempunyai cecair pensanitasi tangan sendiri antara alasan diberi pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Berikutan itu, pemilik premis perniagaan terbabit tidak menyediakan cecair pensanitasi tangan dan pengukur suhu badan di premis mereka, selain ada yang tidak menyediakan buku bagi mengambil maklumat pelanggan atas alasan mengenali pelanggan terbabit.

Itu antara senario daripada Op Sepadu Pematuhan SOP PKPP dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sekitar Bahau, Jempol, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, op bermula 8 malam dan berakhir 12 tengah malam itu bertujuan memastikan pematuhan SOP ditetapkan kerajaan diguna pakai semua premis perniagaan terbabit.

Beliau berkata ia kali pertama diadakan bersama Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Penerangan Jempol dan Rela sejak PKPP dilaksanakan 10 Jun lalu.

"Sebanyak 12 premis diperiksa 37 petugas membabitkan kedai runcit, pusat hiburan, restoran dan kedai makan sekitar Bahau dan kawasan berhampiran.

"Tiga kompaun dan tiga notis dikeluarkan penguat kuasa MPJL kepada pemilik premis gagal mematuhi SOP PKPP dan melanggar syarat lesen perniagaan.

"Enam notis dikeluarkan penguat kuasa PKD Jempol kepada enam premis kerana melanggar peraturan kawalan hasil tembakau kerana gagal mematuhi SOP PKPP," katanya.

Hadir sama dalam operasi berkenaan adalah Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin.

Mohd Khairiel berkata, pengagihan risalah dan poster serta hebahan awam mengenai Covid-19 turut dijalankan petugas penerangan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan operasi bersepadu lebih kerap sepanjang tempoh PKPP bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 2:14 PM