GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Adnan Ibrahim


MAJLIS Perbandaran Kluang (MPK) hanya membenarkan penjualan lemang secara dalam talian dan perkhidmatan penghantaran menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Yang Dipertua MPK, Mohd Rafi Abdullah berkata, jualan lemang termasuk dalam kategori perniagaan penjajaan dan penjualannya secara terbuka masih dilarang, selaras dengan panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, peniaga yang mengusahakan penjualan lemang juga disaran berdaftar dengan eBazar Makmur Johor untuk menjual produk mereka secara dalam talian.

"Portal eBazar Makmur Johor adalah inisiatif kerajaan Johor untuk membantu peniaga makanan di negeri ini memasarkan hasil jualan mereka, khususnya di Ramadan ini.

"Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dilanjutkan selepas 12 Mei ini, perniagaan penjajaan dibenarkan beroperasi seperti biasa, termasuk penjual lemang asalkan mereka memiliki permit perniagaan yang sah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rafi berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan peniaga lemang di Kluang yang bimbang operasi mereka terjejas sepanjang PKPB menjelang Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu, beliau berkata, peniaga lemang di Kluang dinasihatkan supaya memastikan pembakaran lemang tidak mengganggu orang awam dan menjejaskan keselamatan.

"Sekiranya peniaga menerima tempahan dengan jumlah yang banyak, mereka boleh mencadangkan kepada MPK untuk mendapatkan lokasi pembakaran secara berkelompok yang bersesuaian.

"Ia bagi memastikan aktiviti pembakaran lemang ini dibuat secara terkawal dan tidak menjejaskan keselesaan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 11:03 AM