Menjadi kebiasaan peniaga meninggalkan peralatan dan gerai jualan di tepi jalan selepas tamat berniaga. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Menjadi kebiasaan peniaga meninggalkan peralatan dan gerai jualan di tepi jalan selepas tamat berniaga. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pemilik gerai yang meninggalkan struktur khemah dan peralatan di tapak perniagaan selepas tamat waktu niaga akan dikenakan notis penguatkuasaan termasuk dikompaun.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya juga akan menempatkan petugas rondaan dan pemantau terhadap aktiviti penjajaan yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, tindakan penguatkuasaan secara harian atau melalui tindakan khas ini diambil mengikut Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terhadap peniaga yang ingkar.

"Berdasarkan statistik tindakan penguatkuasaan sepanjang tahun 2022, sebanyak 210 tindakan pindah halangan dilaksanakan terhadap barangan perniagaan penjaja yang ditinggalkan di tempat awam dengan 1,886 peralatan dipindahkan.

"Sebanyak 138 tindakan pindah halangan sudah dilaksanakan membabitkan 2,320 peralatan dipindahkan bermula Januari hingga April tahun ini," katanya. Semalam Harian Metro melaporkan tindakan peniaga yang membiarkan peralatan gerai jualan tepi jalan selepas tamat berniaga bukan hanya mencacatkan pemandangan serta mengganggu laluan pejalan kaki.

Tindakan itu juga boleh mendatangkan risiko kemalangan di jalan raya.

Menurutnya, peralatan yang dipindahkan akan dibawa ke Stor Sitaan DBKL yang terletak di Jalan Lombong untuk proses dokumentasi dan penyimpanan.

"Peralatan atau barangan niaga yang dipindah halangan boleh dituntut semula tertakluk kepada syarat ditetapkan Datuk Bandar Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, caj atau bayaran juga dikenakan mengikut garis panduan kepada peralatan pindah halangan.

"Pemilik gerai diberikan kompaun terlebih dulu sebelum perlu membayar caj upah alih dan simpan bernilai RM100.

"Bayaran RM10 turut dikenakan untuk tempoh waktu tujuh hari bekerja.

"Sekiranya peralatan pindah halangan tidak dituntut dalam tempoh 30 hari, Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh melupuskan barang itu mengikut cara yang difikirkan sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 6:30 AM