GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


PENIAGA eBazar Makmur Johor perlu berdaftar dengan dua penyedia sistem iaitu eBazar dan Getmakan bagi membolehkan mereka menerima insentif geran galakan perniagaan bernilai RM200.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, geran galakan perniagaan secara 'one off' itu hanya kepada peniaga yang menyertai eBazar Makmur Johor.

Katanya, eBazar Makmur Johor adalah alternatif kerajaan negeri bagi menggantikan bazar Ramadan konvensional yang terpaksa dibatalkan, selain ia juga bagi membantu golongan itu kekal memperoleh sumber pendapatan.

"Penting untuk mereka berdaftar kerana sistem ini menjadi medium bagi kerajaan negeri memantau aktiviti perniagaan pengusaha dan secara tidak langsung mengenal pasti sebarang masalah yang timbul.

"Selain itu, menerusi dua sistem ini, kerajaan negeri akan mengetahui peniaga yang benar-benar layak sahaja boleh membuat pendaftaran termasuk mengenal pasti mereka ini sudah mengambil suntikan typhoid atau tidak," katanya pada kenyataan hari ini.

Ayub berkata, bagaimanapun pendaftaran peniaga eBazar itu bukan hanya memerlukan pendaftaran dua penyedia sistem itu semata-mata.

Katanya, beberapa kriteria yang dijadikan garis panduan juga perlu dipenuhi.

"Kriteria terbabit termasuk peniaga dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor, mempunyai sijil pengendalian makanan yang diperakui dan berdaftar dengan syarikat penyedia perkhidmatan yang disahkan Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB).

"Sehubungan itu, kerajaan negeri ingin menyeru kepada mereka yang layak untuk memberi kerjasama dan mematuhi semua syarat ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 1:02 PM