SULANG (kiri)  dan Endet  menunjukkan MyKad milik mereka. FOTO Amran Yahya
SULANG (kiri) dan Endet menunjukkan MyKad milik mereka. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


JIKA anda melalui kawasan perkampungan di Inas, Johol mungkin anda beranggapan ia sama seperti perkampungan tradisional lain.

Namun, di celah perkampungan itu, terdapat tiga butir 'permata berharga' yang jarang ditemui yang kini berusia lebih 100 tahun.

Kunjungan Harian Metro ke Kampung Kabung, Inas menemukan Sulang Asan, 105, yang kini masih sihat biarpun usianya melebihi satu abad.

Walaupun salam diberikan dari luar pagar dengan jarak kira-kira 20 meter, dia menjawab salam itu dengan jelas dan ini menggambarkan deria pendengarannya masih tajam.

Bukan itu sahaja, daya ingatannya juga masih baik sehinggakan dia mampu mengingati tahun kelahiran sebahagian daripada 16 orang anaknya.

Menurut Sulang, tiada apa petua yang hebat untuk dikongsikan dengan semua orang namun suasana kehidupan di kampung banyak mempengaruhi kehidupannya.

"Jika di kampung semua bahan yang digunakan adalah dari sumber yang asli termasuk makanan, minuman serta ubat-ubatan pula menggunakan herba dan akar kayu.

"Jika dahulu, nasi yang dimasak menggunakan beras baharu yang ditanam sendiri, manakala sayur-sayuran pula adalah segar dari ladang tanpa menggunakan bahan kimia dan sumber minuman pula dari air telaga," katanya ketika ditemui di Kampung Kabung, Inas, Johol.

Sulang yang mempunyai 52 cucu, 72 cicit dan 13 piut berkata, melalui tiga zaman iaitu zaman British, Jepun dan komunis banyak mengajarnya erti pengalaman hidup.

"Dari dahulu lagi kehidupan saya hanyalah di kampung ini dengan bercucuk tanam, menanam padi dan menoreh getah.

"Setiap hari terpaksa membanting tulang untuk menyara keluarga dan Alhamdulillah, sehingga kini saya dikurniakan kesihatan yang baik, masih mampu berjalan dan menguruskan diri sendiri tanpa pertolongan orang lain.

"Tiada apa lagi yang hendak saya cari, selain menambah amal ibadat dan setiap masa yang terluang akan diisi dengan zikir kepada Allah," katanya.

Dia yang kini tinggal bersama anak ketujuhnya iaitu Sahariah Duseh, 58, selepas suaminya meninggal dunia pada 2009 ketika berusia 83 tahun.

Jelas Sulang lagi, dia mempunyai seorang sahabat di Kampung Inas yang dikenali dengan panggilan Uwan Sani yang kini telah berusia 107 tahun yang masih hidup namun 'permata' kedua itu kini terlantar.

Sementara itu, 'permata' ketiga pula, Endet Rentah,102, menetap di Kampung Seginyeh, Inas kini uzur dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Menurut anaknya, Ummi Kalsum Mahadi, 58, hanya dia seorang yang masih hidup darpada lima beradik .

"Sekarang ibu tinggal dengan saya dan kini semua urusan sehariannya memerlukan bantuan.

"Walaupun begitu, ibu hanya menghidap sakit tua namun tidak menghidap sebarang penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.

"Bagaimanapu, sejak lima tahun kebelakangan ini, daya ingatannya berkurangan sehingga menyebabkan dia mudah lupa.

"Seperti yang kita sedia maklum, usia orang dulu banyak dipengaruhi kehidupan persekitaran. Ini kerana sejak dahulu, masyarakat Johol memang terkenal dengan bertani untuk dijadikan sumber makanan.

"Air minuman pula dari sumber perigi dan sungai yang bersih dan tidak tercemar dengan bahan kimia," katanya ketika ditemui di Kampung Seginyeh, Inas.

Kata Ummi Kalsum lagi, arwah datuknya Rentah Takin adalah bekas penghulu Luak Inas yang meninggal dunia pada 1980 ketika berusia 107 tahun.

"Jika diselidik, mungkin ramai lagi masyarakat di sini yang berusia lebih satu abad dan kajian perlu dilakukan untuk mengenal pasti apakah faktornya, samada persekitaran atau keturunan, namun urusan ajal dan maut itu adalah ketentuan Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 11:48 AM