ZAKI membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka. FOTO Nazri Abu Bakar
ZAKI membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


"INILAH saja yang dapat saya bantu petani memasarkan hasil tanaman mereka," kata penghantar makanan Zaki Abu Bakar, 36, yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Baginya, usaha terbabit membolehkan hasil pertanian seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan ternakan penduduk dapat dipasarkan kepada orang ramai yang masih terbatas pergerakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua bulan lalu.

Zaki berkata, pada permulaannya dia memenuhi permintaan petani yang mengusahakan buah naga menghantar pesanan kepada penduduk namun dalam masa sama dia berkongsi gambarnya mengagihkan kepada pelanggan di WhatsApp dan Facebook.

Katanya, susulan itu permintaan semakin tinggi sehingga dia juga mencari pengusaha lain untuk memasarkan hasil tani masing-masing.

"Malah ramai juga jiran meminta saya membeli ikan dan sayur di pasar Alor Gajah, selain membeli barangan keperluan harian untuk dihantar ke rumah mereka dengan bayaran ikhlas", katanya.

Beliau berkata, permintaan yang memberangsangkan membolehkan dia memperolehi antara RM50 hingga RM70 sehari untuk menampung perbelanjaan harian.

Menurutnya, walaupun tidak tinggi namun dia gembira kerana dapat berbakti sekadar termampu berikutan kepada petani dan orang ramai.

"Dengan cara ini orang ramai tidak perlu beratur panjang di kaunter bayaran, menjimatkan duit minyak dan memastikan penjarakan sosial satu meter ketika membeli keperluan," katanya.

Dia berkata, dia teruja dapat berkhidmat kepada penduduk sekitar Alor Gajah, Pulau Sebang, Pengkalan, Jelatang, Kelemak, Lendu, Rembia dan Cheng.

Zaki mengalami kecederaan teruk pada kaki kanan selepas terbabit kemalangan jalan raya pada 2003 menyebabkan dia kini berstatus OKU.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 11:01 AM