Kuala Lumpur: “Inisiatif Ustaz Zaki berdakwah menggunakan basikal hingga ke seluruh negara dianggap satu usaha yang baik, namun diharapkan ia tidaklah memberi kemudaratan kepada diri sendiri.

“Ini kerana jika sesuatu yang dilakukan itu boleh membebankan diri sendiri, ia sudah tidak disyarakkan dan digalakkan oleh agama,” demikian pandangan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Beliau mengulas mengenai laporan muka depan Harian Metro, kelmarin mengenai seorang bekas mahasiswa jurusan kejuruteraan kimia, Zaki Mahmud, 51, dari Sanglang, Kedah yang berdakwah dan mengajar al-Quran menggunakan basikal hingga ke seluruh negara.

Zaki yang juga digelar Ustaz Zaki dan Wali Gerek itu memilih cara tersendiri menggunakan basikal untuk belajar serta mengajar agama di serata tempat termasuk Thailand dan Myanmar.

Meskipun memiliki lima basikal yang dihadiahkan orang ramai, Zaki masih memilih untuk mengayuh basikal usangnya ke sana ke mari.

Selain terpaksa berdepan dengan cuaca yang tidak menentu, Zaki juga pernah mengalami kemalangan pada waktu malam dan menyebabkan dia tersadai hingga ke siang sebelum mendapat bantuan orang ramai.

Menurut Ahmad Dasuki, Islam tidak menolak ketamadunan malah menggalakkan umatnya untuk menggunakan kemudahan pengangkutan yang ada hari ini.

Kata beliau, terdapat banyak kemudahan pengangkutan moden yang boleh memudah serta mempercepatkan sesuatu perjalanan dan ia sepatutnya digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:20 AM