GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


PEMANDU bas ditahan selepas didapati positif dadah ketika pemeriksaan sebelum proses membawa pulang penuntut terkandas di Politeknik Merlimau, Jasin, malam tadi.

Pemandu berusia 54 tahun dari Pantai Peringgit, Melaka, ditahan di lot letak kenderaan politeknik berkenaan selepas ujian air kencing ke atasnya mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, lelaki yang bekerja sebagai pemandu bas sebuah syarikat swasta itu dibawa ke Balai Polis Merlimau untuk siasatan lanjut.

"Bagi memastikan penuntut dapat pulang dengan selamat, polis menjalankan ujian air kencing ke atas semua 10 pemandu bas dan pembantu mereka selain dua pemandu van yang terbabit dalam proses penghantaran itu.

"Hasil ujian air kencing itu, seorang daripada mereka positif dadah dan lelaki itu ditahan, kami akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Malam tadi, seramai 206 penuntut di Melaka dihantar pulang ke kampung masing-masing ke destinasi zon Selatan iaitu Johor dan Negeri Sembilan.

Jumlah itu merangkumi tiga tempat pelepasan iaitu di Politeknik Merlimau yang membabitkan 158 penuntut; Universiti Teknikal Malaysia Melaka, 27 penuntut dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Lendu, Alor Gajah (21 penuntut).

Di Politeknik Merlimau, sebanyak 10 bas dan dua van digunakan untuk menghantar pelajar pulang ke beberapa daerah di Johor dan Negeri Sembilan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 3:54 PM