M SARAVANAN (tengah) mengadakan lawatan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan sebuah kilang memproses ais berhampiran Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
M SARAVANAN (tengah) mengadakan lawatan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan sebuah kilang memproses ais berhampiran Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 214 aduan berkaitan isu bekerja dari rumah diterima Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara bagi tempoh 1 Jun lalu hingga semalam.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, aduan itu diterima pihaknya menerusi tiga medium iaitu Working for Workers (WFW), emel dan talian telefon jabatan berkenaan.

"Siasatan dan penguatkuasaan ke atas semua aduan akan diambil tindakan oleh JTK dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah pelanggaran Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan.

"Selain itu, terdapat pelanggaran membabitkan Peraturan 3 dan 4 di bawah Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 kerana tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika melawat Pasar Borong Kuala Lumpur dan sebuah kilang memproses ais berhampiran Pasar Harian Selayang, di sini, hari ini.

Saravanan berkata, bagi kesalahan berkenaan, pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 bagi satu kesalahan dan kompaun sehingga RM25,000.

"Semua majikan, penyedia penginapan berpusat serta pemain industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi akta dikuatkuasakan bagi mengelak tindakan undang-undang diambil terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 19,517 majikan membabitkan 107,620 penginapan pekerja diperiksa JTK di seluruh negara sejak 1 Februari sehingga semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 747 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) terhadap majikan pelbagai sektor atas pelbagai kesalahan.

"Daripada 747 kertas siasatan itu, sebanyak 125 kertas siasatan sudah didakwa di mahkamah sesyen di seluruh negara dengan 55 kes pendakwaan selesai membabitkan jumlah denda dibayar RM361,000.

"Selain itu, 305 kertas siasatan diberi izin kompaun membabitkan tawaran kompaun berjumlah RM3.3 juta terhadap majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446," katanya.

Katanya, daripada jumlah kertas siasatan itu, sebanyak 64 kertas siasatan yang dibuka membabitkan majikan di Kuala Lumpur.

"Sebanyak 20 kertas siasatan sudah diambil tindakan pendakwaan dan tiga lagi selesai dengan jumlah denda sebanyak RM70,000.

"Sebanyak 27 kertas siasatan lagi mendapat izin kompaun membabitkan tawaran kompaun berjumlah RM48,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:39 PM