GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menutup dua tapak pembinaan iaitu masing-masing satu di Melaka dan Perak kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

CIDB dalam satu kenyataan berkata, penutupan tapak bina di Melaka itu selepas Pemeriksaan Operasi Bersepadu SOP Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, pemeriksaan terhadap tapak bina yang menjalankan projek pembangunan perniagaan, hotel dan kondotel itu didapati tidak patuh SOP.

"Berikutan itu pihak penguat kuasa mengarahkan operasi dihentikan serta merta kerana ketidakpatuhan terhadap senarai semak SOP MKN Covid-19, Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) bagi sektor pembinaan.

"Kesalahan berkenaan merangkumi tiada rekod pengurusan pekerja dan saringan gejala; beroperasi melebihi kapasiti 60 peratus pekerja; tiada saringan suhu dilaksanakan di pintu masuk yang digunakan serta tiada kenderaan yang disediakan oleh syarikat bagi pergerakan pekerja," katanya.

Susulan itu, CIDB memberikan Notis N3E/2021 iaitu Notis Pemberhentian Kerja Pembinaan (pelanggaran kewajipan oleh kontraktor) serta Notis N2/2015 atau Mengemukakan Maklumat Mengenai Industri Pembinaan (kontraktor).

Sementara itu bagi penutupan tapak bina di Perak, CIDB memaklumkan ia adalah satu daripada sembilan tapak pembinaan yang diperiksa dalam operasi berkenaan di negeri itu.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, tiga tapak bina tidak beroperasi, manakala lima lagi beroperasi dan mematuhi SOP MKN serta satu tapak bina tidak mematuhi SOP.

"Antara kesalahan yang dilakukan ialah pengisytiharan untuk kebenaran beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) didapati bercanggah di tapak beroperasi dan rumah penginapan pekerja disediakan di tapak bina tiada kelulusan JTK atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain itu, tapak bina berkenaan juga beroperasi melebihi kapasiti 60 peratus pekerja dan kebanyakan pekerja tidak mematuhi SOP tapak bina. Berikutan itu satu Notis N3E/2021: Notis Pemberhentian Kerja Pembinaan (pelanggaran kewajipan oleh kontraktor) sudah diberikan," katanya.

Sementara itu, CIDB memaklumkan sejak 1 Jun lalu iaitu sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 sebanyak 4,067 tapak bina sudah diperiksa iaitu 781 (19 peratus ) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala 3,286 (81 peratus) tidak beroperasi.

Dalam pemeriksaan yang diadakan itu, sebanyak 187 tapak pembinaan diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP MKN dan 41 daripadanya kini sudah dibenarkan dibuka semula.

Tapak bina yang ditutup itu adalah 54 terletak di Sarawak; Selangor (42); Melaka (15); masing-masing 11 tapak bina di Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur; sembilan di Johor; Negeri Sembilan (lapan) dan enam masing-masing di Perak, Terengganu dan Pahang.

"Selain itu tiga masing-masing di Kedah dan Perlis dan dua di Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 2:18 PM