Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Haji Awang Hashim (kiri) memeriksa asrama pekerja kilang pembuatan barangan plastik di Taiping. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Haji Awang Hashim (kiri) memeriksa asrama pekerja kilang pembuatan barangan plastik di Taiping. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang menggubal Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan, dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi menaikkan kadar denda sedia ada kepada RM500,000 terhadap majikan yang melakukan kesalahan dan mengabaikan tanggungjawab pekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Haji Awang Hashim berkata, cadangan itu masih lagi di peringkat perbincangan dan akan dibawa ke peringkat tertinggi sebelum pelaksanaan.

"Ini cuma pandangan saya dan cadangan ini akan dibentangkan di peringkat Parlimen serta dibincangkan secara menyeluruh.

"Dalam situasi pandemik Covid-19 ini, ada majikan yang memperolehi keuntungan berbilion ringgit dan denda RM25,000 atau RM50,000 sebenarnya tiada apa bagi mereka dan boleh bayar bila-bila masa.

"Namun adakah dengan hanya membayar denda ini majikan boleh memberi perlindungan kepada pekerjanya dan penyakit ini tidak merebak?

"Justeru cadangan menaikkan kadar denda ini diharap majikan dapat lebih peka dan bertanggungjawab terhadap pekerjanya," katanya dalam sidang media selepas Operasi Akta 446 dan Akta 342 di Taiping, di sini, hari ini.

Menurut Awang, dalam operasi itu dua premis membabitkan sektor pembuatan barangan plastik dan seramik diperiksa.

"Dua premis yang beroperasi dengan kapasiti 73 pekerja warga tempatan dan 58 warga asing itu dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta 446 iaitu tiada perakuan penginapan dan masih belum membuat permohonan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Selain itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan kompaun kerana kesalahan Peraturan 16, Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) iaitu gagal mengimbas kod MySejahtera.

"Terdapat juga beberapa kesalahan lain turut diambil tindakan di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan dan Sosial Pekerja (PERKESO)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 3:08 PM