JTKSM ketika melakukan Operasi Penguatkuasaan Khas Akta 446 dan Akta 342 di asrama pekerja asing di kawasan Perindustrian Pagoh. FOTO ESSA ABU YAMIN
JTKSM ketika melakukan Operasi Penguatkuasaan Khas Akta 446 dan Akta 342 di asrama pekerja asing di kawasan Perindustrian Pagoh. FOTO ESSA ABU YAMIN
Essa Abu Yamin


Pagoh: Lebih RM9.1 juta jumlah kompaun dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) terhadap 796 majikan yang gagal mematuhi Akta 446 dan Akta 342 sepanjang Januari ini hingga kini.

Ketua Pengarahnya, Asri Ab Rahman berkata, majikan terbabit dikompaun selepas gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) serta pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

"Dalam tempoh awal Januari hingga hari ini, JTKSM melakukan pemeriksaan ke atas 34,088 majikan dengan 150,185 penginapan tturut diperiksa.

"Sebanyak 1,169 kertas siasatan dibuka dan 796 daripadanya diberikan Izin Kompaun dengan tawaran berjumlah RM9.149 juta.

"Sehingga hari ini (6 November), jumlah kompaun yang dibayar adalah RM2,461,300," katanya pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Khas Akta 446 dan Akta 342 di Muar dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JTKSM Mohd Asri Abd Wahab dan Pengarah JTK Johor Nasir Kassim.

Asri berkata, operasi berkenaan turut disertai Majlis Perbandaran Muar (MPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Human Resouce Development (HRD) Corp Cawangan Selatan.

"Pada operasi kali ini, JTKSM memeriksa lima premis termasuk tempat tinggal yang disediakan majikan di Kawasan Perindustrian Pagoh.

"Hasil pemeriksaan di kawasan sektor pembuatan perabot berkenaan, JTKSM mendapati, ia beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja seramai 955 pekerja dengan 711 daripadanya adalah pekerja asing," katanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut, kilang berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan dan masih belum membuat sebarang permohonan dengan JTK.

"Majikan juga melakukan kesalahan di bawah Peraturan 4(1) dan pada hari ini sahaja, JTK Johor akan mengeluarkan lima kertas siasatan ke atas majikan yang melakukan kesilapan berkenaan.

"MPM turut mengenal pasti tiga kesalahan dilakukan oleh majikan itu membabitkan dua kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu gagal mematuhi SOP penjarakan fizikal dalam hostel dan membiarkan premis dalam keadaan kotor.

"Ia boleh dikompaun RM1,000 setiap satu kesalahan serta satu kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1974 (Akta 133) iaitu mendirikan bangunan tanpa kebenaran dan boleh dikompaun RM500," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 3:36 PM