Antara dadah yang ditemui dalam serbuan di kondominium. FOTO Ihsan PDRM
Antara dadah yang ditemui dalam serbuan di kondominium. FOTO Ihsan PDRM
Garret Dawum


KEHIDUPAN mewah penganggur terbongkar apabila ditahan bersama 808.32 gram (g) dadah pelbagai jenis bernilai RM82,201.10 di Jalan Tanjung Lobang, Miri semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, selain lelaki tempatan berusia 24 tahun itu, dua wanita warga Vietnam lingkungan 20-an turut ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, hasil pemeriksaan terhadap pacuan empat roda dimiliki suspek dan sebuah kondominium mewah menjumpai 681 pil ekstasi seberat 235.67g; 190 bji Erimin 5 (52.55g); ketamin (166.61g); serbuk ekstasi (332.34g) dan dedaun kering disyaki dadah seberat 21.15g.

“Dalam serbuan itu, seutas rantai bersama loket, satu cincin sampua penuh, satu cincin sampua dan 28 keping bentuk kunci disaluti emas bernilai RM30,752.36 turut disita.

“Siasatan awal mendapati aktiviti pengedaran dadah kumpulan ini dipercayai bermula sejak awal 2018 di sekitar pusat hiburan di Miri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sahar berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek lelaki didapati positif syabu dan ketamin manakala dua wanita warga Vietnam didapati negatif dadah.

“Ketiga-tiga suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama.

“Suspek lelaki turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan kini ditahan di Balai Polis (BP) Sentral Miri, manakala kedua-dua suspek wanita ditahan di lokap BP Trafik Miri untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek lelaki pernah ditahan empat kali atas kesalahan dadah manakala dua wanita itu yang juga penganggur tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 1:09 PM