Dadah yang ditemui dalam serbuan di sebuah pangsapuri hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Dadah yang ditemui dalam serbuan di sebuah pangsapuri hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek


ANGGOTA tentera dan tiga pelajar sekolah antara 27 individu yang ditahan polis dalam Ops Tapis di sebuah pangsapuri di Jalan Pantai Telok Kemang, Port Dickson hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam serbuan 4 pagi itu, polis menemui dadah pelbagai jenis 7.26 gram.

“Bertindak atas maklumat , sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Port Dickson bersama anggota Balai Polis Teluk Kemang melakukan serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Pantai Telok Kemang.

“Selepas memperkenalkan diri, pasukan serbuan kemudian menahan 20 lelaki dan tujuh wanita di pangsapuri itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis menjalankan pemeriksaan badan terhadap semua suspek tetapi tidak menjumpai apa-apa barang salah.

“Pemeriksaan di pangsapuri itu menemui satu paket plastik lutsinar berisi 15 pil disyaki ekstasi 5.71 gram dan satu paket lutsinar berisi ketamin 0.55 gram di lantai.

“Turut dijumpai di meja di bahagian ruang tamu satu tiub kaca di dalamnya mengandungi bahan kristal disyaki syabu 1 gram.

“Polis merampas semua barang kes dan menahan semua suspek untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, salah seorang tangkapan adalah anggota tentera manakala tiga daripada mereka pelajar sekolah.

“Kami juga dapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39(A)(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 10:31 PM