Antara dadah yang dirampas oleh pihak polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Madu Jaya, Kelewek pada malam Ahad lalu. FOTO IHSAN POLIS
Antara dadah yang dirampas oleh pihak polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Madu Jaya, Kelewek pada malam Ahad lalu. FOTO IHSAN POLIS
Siti Rohana Idris


DUA lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Madu Jaya, Kelewek, Tanah Merah, bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM87,605, Ahad lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada 7 malam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, suspek berusia 25 dan 27 tahun itu dipercayai pengedar dadah dan hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menemui 5,250 biji pil Eramin 5, 350 gram (g) syabu, tujuh biji pil ekstasi, 16 bungkus air ketum dan sembilan botol cecair kodein.

"Polis membuat sitaan terhadap wang tunai berjumlah RM1,355 dipercayai hasil jualan dadah dan sebuah kereta Honda Civic untuk diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Dua suspek itu dipercayai baharu sebulan bergiat dalam kegiatan terbabit dan kawasan pengedarannya di sekitar Tanah Merah," katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek yang berusia 25 tahun pernah ditangkap mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala seorang lagi pula mempunyai rekod kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah dan mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 7 September.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 2:55 PM