Rosli (dua dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan heroin dan syabu bernilai RM346,685 yang dirampas di daerah Maran dan Kuantan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang. FOTO Zulkepli Osman
Rosli (dua dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan heroin dan syabu bernilai RM346,685 yang dirampas di daerah Maran dan Kuantan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang. FOTO Zulkepli Osman
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Polis Pahang merampas pelbagai dadah bernilai RM346,685 dan menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Maran dan bandar ini hujung minggu lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Rosli Ab Rahman berkata, kejayaan itu adalah terbesar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Dalam serbuan pada 30 April lalu, dua lelaki berusia 40-an ditahan di dalam kereta di Lorong Bukit Setongkol, dekat sini.

"Hasil pemeriksaan menemui heroin seberat 4.529 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM113,225, dan syabu seberat 1.208 kg bernilai RM84,595 di dalam kereta itu.

"Kita juga merampas dua kenderaan dipercayai milik suspek di sebuah rumah dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah mereka," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua JSJN IPK Pahang Superintendan Lam Thiam Huat.

Rosli berkata, terdahulu pihaknya menahan seorang suspek berusia 41 tahun di Hentian Plaza Tol Chenor, dekat Maran pada 28 April lalu.

Katanya, suspek ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan di dalam keretanya menemui 3.75 kg heroin dianggarkan bernilai RM93,775, syabu seberat 0.536 kg (RM37,590) dan 500 pil Eramin 5 bernilai RM17,500.

"Semua suspek yang positif dadah kini direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Serbuan yang dilakukan ini adalah hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kuantan dan kawasan Pahang Barat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 4:20 PM