AHMAD Amzad (kanan) menenangkan Muda Awang. FOTO Ihsan Bomba
AHMAD Amzad (kanan) menenangkan Muda Awang. FOTO Ihsan Bomba
Zaid Salim


TIGA beranak warga emas, termasuk seorang daripada mereka orang kurang upaya (OKU) hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Ladang Paya, Kuala Terengganu, hari ini.

Kejadian 11.45 pagi itu menyebabkan tiga beranak itu yang berusia 60 hingga 86 tahun tinggal sehelai sepinggang apabila semua pakaian dan peralatan serta barangan elektrik hangus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Abdullah Zawawi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 12 tengah hari sebelum tiga jentera bomba membabitkan sebuah dari BBP Jalan Kota dan dua dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi didapati hampir seluruh rumah papan itu sudah hangus terbakar.

Katanya, mangsa, Muda Awang, 86, dan dua anak lelakinya sempat keluar untuk menyelamatkan diri.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan anggaran kerugian dialami mangsa," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika dihubungi berkata, mangsa kini ditempatkan di rumah anak perempuannya di Lorong Kekabu, Kampung Seberang Baroh.

"Kerajaan negeri akan membantu mangsa dalam masa terdekat menggunakan peruntukan Tabung Bencana Darul Iman," katanya yang turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi membolehkan mangsa membeli pakaian dan keperluan lain untuk digunakan sepanjang Ramadan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 8:43 PM