GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Murnaena Muhammad Nasir


SETIAP kali hadirnya Ramadan, Murtabak Daging Wak di Bazar Taman Kota Cheras pasti laris kerana menjadi pilihan utama orang ramai untuk menikmatinya sebagai juadah berbuka puasa.

Namun, pada tahun ini pengusahanya, Md Sulaiman Seran, 65, terpaksa membatalkan tempahan berikutan kebimbangan dijangkiti penularan wabak Covid-19.

"Setiap tahun, bulan Ramadan bulan dinanti-nantikan untuk saya dan isteri mencari pendapatan lebih. Ramai pelanggan kecewa tidak dapat merasai juadah ini.

"Jika saya meneruskan perniagaan, saya perlu ke pasar membeli barangan. Walaupun sudah berjaga-jaga dan mengamalkan penjarakan sosial tetapi tetap ada rasa takut dijangkiti virus memandangkan usia saya sudah lanjut," katanya.

Dia yang sudah 15 tahun berniaga pada bulan Ramadan mengakui keputusan tidak berniaga menjejaskan pendapatannya.

"Dulu, saya dan pekerja akan sediakan 1,000 murtabak sehari untuk pelanggan dan kebiasaannya akan habis dijual sebelum jam 7 petang.

"Pendapatan yang saya peroleh setiap bulan Ramadan iaitu sebanyak RM12,000 pada tahun sebelumnya hanya tinggal kenangan dan ia tidak akan berlaku tahun ini," katanya.

Mengulas cadangan e-Bazar menggunakan kaedah pembelian secara dalam talian, Md Sulaiman berkata, kaedah normal baharu itu tidak sesuai dengannya.

"Saya tidak pandai menggunakan media sosial untuk berniaga, bahkan akaun Facebook pun saya tiada. Saya tidak tergamak susahkan anak-anak kerana mereka juga ada tanggungjawab lain.

"Jadi, saya manfaatkan masa ini berehat bersama keluarga dan banyakkan beribadat. Saya akan mula berniaga kembali apabila wabak ini sudah reda," katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Kota Cheras yang juga pelanggan tetap 'Murtabak Daging Wak', Amirul Amsyar Kamarudin, 24, berkata, dia kecewa makanan kegemarannya itu tidak dijual lagi.

"Dulu, seawal jam 4 petang saya akan ke bazar dan beratur membeli di gerainya kerana takut habis. Ramadan kali ini berbeza, tidak ada lagi bazar Ramadan demi memastikan rantaian wabak Covid-19 berjaya diputuskan.

"Bagaimanapun, sebagai umat islam yang beriman kita perlu reda dengan ketentuan Tuhan dan tetap patuh dengan arahan kerajaan. Mungkin inilah masanya kita merapatkan hubungan silaturahim bersama keluarga dengan memasak sendiri juadah berbuka puasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 5:59 PM