PANGKIN daging Roslan Mohamad di Pasar Awam Masjid Tanah menjadi tumpuan pelanggan yang membuat persiapan menyambut Ramadan. FOTO Hassan Omar
PANGKIN daging Roslan Mohamad di Pasar Awam Masjid Tanah menjadi tumpuan pelanggan yang membuat persiapan menyambut Ramadan. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


TIDAK seperti lazimnya, Ramadan kali ini menyaksikan tiada peniaga berniaga di tepi jalan, sekali gus menyebabkan orang ramai tertumpu ke pasar awam untuk mendapatkan bekalan itu.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April ini menyebabkan tiada peniaga menjual daging di tepi jalan berbanding ketika umat Islam membuat persediaan menyambut Ramadan sebelum ini.

Tinjauan di beberapa lokasi di sekitar Alor Gajah mendapati tiada khemah yang lazimnya menjadi tempat daging segar digantung dan dilapah, dibuka di tepi jalan.

Sebaliknya, pangkin daging di Pasar Awam Masjid Tanah, dipenuhi pelanggan yang tidak mahu terlepas peluang mendapatkan daging untuk dijadikan juadah sahur dan berbuka puasa.

Peniaga daging, Roslan Mohamad, 52, berkata beliau menyembelih dua lembu awal pagi hari ini untuk ditawarkan kepada pelanggan kerana menjangka pasar akan menjadi tumpuan berikutan ketiadaan peniaga daging di tepi jalan.

"Ramai kawan saya menternak lembu dan kerbau, tetapi tidak menjual daging di pasar seperti saya dan mereka tidak berani menjual daging di tepi jalan seperti sebelum ini kerana PKP.

"Untuk menampung permintaan pelanggan, saya sembelih dua lembu dan jual daging pada harga sama seperti selalu iaitu RM34 sekilogram," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan senarai Barang Harga Terkawal Skim Harga Maksimum dikeluarkan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, harga borong daging lembu tempatan ditetapkan pada RM32 sekilogram manakala harga runcit ialah RM34.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 5:15 PM