KERETA Proton Iswara milik Nik Azman hilang ketika dia membeli ramuan bubur lambuk di Pasar Borong Kampung Lampu, Jertih, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
KERETA Proton Iswara milik Nik Azman hilang ketika dia membeli ramuan bubur lambuk di Pasar Borong Kampung Lampu, Jertih, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nurul Fatihah Sulaini


SEORANG peniaga terkejut apabila kereta ditinggalkan di tepi jalan ‘lesap’ ketika selesai membeli ramuan membuat bubur lambuk di Pasar Borong Kampung Lampu, Jertih, hari ini.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, Nik Azman Mat Yassin, 43, meninggalkan kereta Proton Iswara berwarna kelabu miliknya di tepi jalan berdekatan pasar borong itu untuk membeli bahan masakan sebelum menjual juadah berbuka puasa pada sebelah petang.

“Saya tinggalkan kereta itu sekejap sahaja di tempat parkir biasa dalam keadaan berkunci sebelum masuk ke pasar borong untuk mengambil bekalan sayuran yang sudah ditempah lebih awal.

“Kejadian itu hanya disedari selepas 20 minit saya meninggalkan kereta apabila seorang pekerja gerai sayur itu mahu menghantar barang ke kereta saya, namun ia tiada di tempat parkir,” katanya ketika dihubungi.

Nik Azman berkata, pada awalnya dia menyangka pengunjung di situ tersilap mengambil kereta kerana kebetulan terdapat satu lagi kereta model sama diletakkan di petak parkir bersebelahan kenderaan miliknya.

“Tetapi sangkaan saya silap kerana tuan kereta itu berada di dalam kenderaan dan saya mula gelabah apabila menyedari kereta saya hilang.

“Sebelum datang ke pasar borong ini, saya sempat mengambil stok ikan segar bernilai RM500 dan mengisi penuh di dalam but sebelum bercadang mahu mengambil stok daging serta ayam pula.

“Jika diikutkan hampir setiap hari saya datang ke pasar borong ini kecuali Jumaat dan hampir setiap peniaga mengenali saya kerana kerap ke sini,” katanya.

Nik Azman berkata, kereta miliknya yang dibeli kira-kira 14 tahun lalu adalah kenderaan utama keluarga untuk bergerak serta membeli barang niaga.

Menurutnya, dia membuka warung di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Keluang sejak berbelas tahun lalu dan sepanjang Ramadan, menjual juadah berbuka puasa di situ.

“Lebih merisaukan, selain sambutan Aidilfitri bakal menjelang beberapa hari lagi, saya perlu berulang alik membawa isteri, Siti Hamizah Yahya, 36, berjumpa pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan untuk pemeriksaan kesihatan.

“Isteri saya sedang mengandung anak kembar keenam serta ketujuh dan dijangka bersalin pada Oktober ini serta perlu berjumpa pakar tiga hari sebelum raya serta pada hari raya keempat,” katanya.

Susulan kejadian itu, Nik Azman membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dia turut berusaha mencari kenderaan yang hilang dengan bantuan keluarga serta rakan sehingga ke sempadan negeri termasuk menghebahkannya melalui laman sosial Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:26 PM