SEKITAR PKP di Sarawak. FOTO BERNAMA
SEKITAR PKP di Sarawak. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 1,011 individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditangkap di negeri ini dalam tempoh sebulan sejak 18 Mac lalu.

Jumlah itu termasuk 124 tangkapan terbaharu dalam tempoh 24 jam antara jam 8 pagi semalam hingga jam 8 pagi, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, Kuching merekodkan jumlah paling ramai iaitu 30 orang diikuti Kota Samarahan (19), Sarikei (13), Padawan (11), Miri (8) dan Bintulu (8).

Sibu pula dengan tujuh tangkapan, Serian (6), Sri Aman (5), Meradong (5), Simunjan (4), Bau (2), Betong (2), Limbang (2), Tatau (1) dan Mukah (1).

“Kesemua mereka yang ditangkap mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, seramai 73 orang didakwa di mahkamah semalam kerana ingkar PKP, menjadikan jumlah keseluruhan yang menghadapi pertuduhan kini seramai 593 orang.

“Sejak PKP Fasa 3 dilaksanakan empat hari lalu, polis tidak lagi mengenakan kompaun kepada mereka yang ingkar arahan itu.

“Sebaliknya, mereka yang ingkar akan ditahan dan direman, kemudiannya didakwa ke mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 11:30 AM