GAMBAR hiasan. FOTO Eizairi Shamsudin
GAMBAR hiasan. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Roji Kawi


TINDAKAN polis yang tidak lagi mengeluarkan kompaun sebaliknya terus menangkap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan orang ramai mula gerun untuk keluar malam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, ia terbukti apabila jumlah individu ingkar PKP menunjukkan penurunan dalam tempoh 24 jam mulai jam 8 pagi semalam hingga jam 8 pagi ini.

Beliau berkata, seramai 83 ditangkap dalam tempoh itu dan ia jelas menurun berbanding lebih 100 orang yang ditahan setiap hari dalam tempoh tiga hari sebelum ini.

“Kita mendapati ada petunjuk baik apabila jumlah tangkapan sekarang berkurangan.

“Ketika ini, kami bukan sahaja mengadakan sekatan jalan raya malah meningkatkan tindakan menerusi pemeriksaan mengejut yang ternyata lebih berkesan menangani mereka yang ingkar PKP,” katanya.

Dev berkata, daripada 83 tangkapan semalam hingga pagi ini, Kuching merekodkan jumlah paling ramai iaitu 22 orang diikuti Sibu (8), Miri (7), Kota Samarahan (6), Bau (6) dan Padawan (5).

Sarikei turut membuat lima tangkapan, Lundu (4), Lubok Antu (4), Meradong (4), Saratok (3), Matu Daro (3), Limbang (1), Betong (1), Mukah (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Kanowit (1).

“Tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan orang yang ditangkap kerana ingkar PKP di Sarawak sejak 18 Mac lalu adalah seramai 1,094 orang.

“Kesemua mereka yang ditangkap mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Seramai 593 orang pula sudah dituduh di mahkamah sejak 18 Mac lalu hingga hari ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 11:59 AM