GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Roji Kawi


JUMLAH individu yang dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini meningkat, meskipun tempoh penguatkuatsaan perintah sudah memasuki 25 hari.

Dalam tempoh 24 jam mulai jam 8 pagi semalam hingga jam 8 pagi hari ini, seramai 89 orang dikompaun RM1,000 kerana gagal memberi alasan munasabah berada di luar rumah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, Kuching mencatat jumlah paling ramai dikompaun dengan 33 orang, diikuti Padawan (15), Sarikei (8), Bau (6)Betong (6) dan Kapit (5).

Beliau berkata, di Miri pula seramai tiga orang dikompaun, Kota Samarahan (3) Saratok (3), Sibu (2), Sri Aman (2) Meradong (2) dan Kanowit (1).

“Mereka yang dikompaun diberi tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk membuat pembayaran di Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada hari pertama tindakan kompaun RM1,000 dikuatkuasakan Khamis lalu, hanya seramai tujuh orang dikompaun, namun angka melonjak kepada 73 pada hari kedua semalam dan semakin meningkat apabila 89 orang dikompaun hari ini.

Sementara itu, Dev berkata tiga orang yang melanggar PKP ditahan dalam tempoh 24 hingga pagi ini iaitu masing-masing seorang di Kuching, Sibu dan Song.

“Tangkapan di Kuching pada jam 12.45 tengah malam tadi adalah seorang wanita berumur 25 tahun.

“Ketika ditahan di belakang bangunan Hotel Riverside Majestic, wanita itu tidak memberi kerjasama dengan polis apabila disoal,” katanya sambil memaklumkan wanita itu dijamin pada jam 5 pagi selepas keterangannya diambil.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 11:08 AM