GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


POLIS terus memburu individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 46 ditahan di Sarawak dalam tempoh 24 jam antara pukul 8 pagi semalam hingga 8 pagi, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, 12 daripada mereka ditangkap di Miri, Kuching (9), Sibu (8), Saratok (3), Padawan (2), Kota Samarahan (2), Sri Aman (2), Limbang (2), Dalat (2) manakala Bintulu, Serian, Lawas dan Sarikei, masing-masing seorang.

Beliau berkata, sejak PKP dilaksanakan mulai 18 Mac lalu, seramai 276 individu yang sengaja melanggar PKP ditahan di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Dev berkata, dalam tempoh itu juga, seramai 83 individu ingkar itu sudah didakwa di mahkamah.

DATUK Dev Kumar
DATUK Dev Kumar

“Seramai 31 orang didakwa di Mahkamah Majistret Sibu, Padawan (13), Miri (7), Dalat (7), Sarikei (6), Lawas (6), Matu-Daro (6), Kuching (4), Kota Samarahan (2) dan Bintulu (1).

“Daripada 83 yang dituduh setakat ini, 66 mengaku salah dan kebanyakan mereka dijatuhkan hukum penjara antara satu bulan hingga empat bulan,” katanya.

Justeru, beliau mengulangi gesaan kepada orang ramai yang tidak ada urusan amat penting di luar agar mematuhi PKP dan duduk di rumah.

“Mereka yang sabit kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

“Manakala bagi Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020) boleh denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 12:03 PM