GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


EMPAT kluster utama dikenal pasti menyumbang 73 peratus daripada jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, empat kluster terbabit ialah Gereja Good News Fellowship (GNF) Conference, kluster tabligh, kluster Itali dan kluster pekerja Healthcare.

Beliau berkata, setakat ini, kluster GNF mencatat jumlah tertinggi dengan 117 kes positif manakala kluster tabligh sebanyak 92 kes, kluster Itali (50 kes) dan kluster pekerja Healthcare (13 kes).

“Selain itu, terdapat 13 sub kluster yang membabitkan ahli keluarga, rakan sepejabat, jiran, dalam penerbangan dan kakitangan kesihatan dengan jumlah kes positif dalam kluster ini adalah 53 kes.

“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengetahui punca jangkitan dalam kalangan kes ini,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sebanyak 46 kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan negeri menentukan sama ada kes-kes itu adalah dalam bentuk kluster atau berasingan.

Sementara itu, beliau berkata, Sarawak hari ini merekodkan lapan lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah kes jangkitan di Sarawak sebanyak 371 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

“Semua lapan kes positif baharu itu dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.

Mengenai kes individu dalam siasatan (PUI) pula, beliau berkata, sebanyak 150 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,949 kes.

“Daripada jumlah itu, 2,419 kes adalah negatif dan 159 kes PUI masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 5:59 PM