- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Mohd Roji Kawi


KES positif Covid-19 di Sarawak kembali mencecah dua angka apabila 10 kes baharu direkodkan hari ini, sekali gus mencetuskan gelombang kedua pandemik di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, enam daripada kes baharu hari ini dilaporkan di Kuching dan masing-masing dua di Samarahan serta Bintulu.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kini meningkat sebanyak 594 kes.

"Kluster baru juga dikesan iaitu Kluster Kapal LNG Jupiter berikutan penambahan dua kes baru pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang membabitkan kluster ini ialah seramai tiga orang daripada keseluruhan 30 orang kru kapal yang disaring.

"Kes positif bukan warganegara itu adalah kontak rapat kepada kes positif yang telah dikesan pada 13 Julai lalu di atas kapal LNG Jupiter," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Uggah berkata, empat kes positif warganegara balik dari luar negara pula dikesan kalangan mereka yang sedang menjalani kuarantin selama 14 hari iaitu masing-masing dua di Kuching dan Samarahan.

"Kesemua kes ini dikategorikan sebagai kes import yang membabitkan warga tempatan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kes positif hari ini membabitkan seorang wanita warga emas yang mengalami Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Kuching.

"Kes ini adalah jangkitan tempatan kerana kes tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara," katanya.

Katanya lagi, satu lagi kes positif membabitkan seorang pekerja kesihatan hari ini adalah kontak rakan tempat kerja kepada kes Ke-582 yang dikesan pada 15 Julai 2020 hasil saringan kepada kontak kepada kes positif Covid-19.

"Kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Kes juga adalah jangkitan tempatan kerana tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara.

"Dua lagi kes positif hari ini membabitkan warga tempatan yang membuat saringan kendiri di hospital swasta dan punca jangkitan untuk kes ini masih dalam siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Kesihatan Sarawak Isnin ini bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kelengkapan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

"Berikutan situasi terkini kes yang meningkat semula, kita mahu memastikan PPE mencukupi untuk petugas barisan hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 5:41 PM