Nazri Abu Bakar


Melaka: Nasib haiwan di Zoo Melaka terbela apabila Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyumbang lebih lima tan buah-buahan dan sayur sayuran kepada 'penghuni' zoo itu tadi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, program MAFI Prihatin itu susulan maklumat zoo berkenaan berdepan masalah kewangan ketika pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, pihak Zoo Melaka perlu menampung perbelanjaan terutama makanan haiwan di zoo berkenaan yang mencecah RM250,000 sebulan.

Katanya, terdapat kira-kira 550 haiwan membabitkan 220 spesis di Zoo itu yang memerlukan perhatian.

Sehubungan itu, melalui Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan, pihaknya menyumbang buah-buahan dan sayur-sayuran kepada pihak pengurusan Zoo Melaka.

"Salah satu agensi di bawah FAMA juga dijadualkan akan membekalkan daging dan ayam dalam memastikan kelangsungan Zoo Melaka dapat diteruskan.

"Dalam masa sama pihak kami juga menyeru mana-mana pihak untuk sama-sama menyumbang kepada pihak zoo berkenaan seperti dilakukan Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Bilal Muda dari Negeri Sembilan yang turut menyumbang makanan haiwan di zoo berkenaan," katanya.

Ahmad Hamzah memberi makanan kepada seekor gajah pada progam sumbangan Animal Food Bank di Zoo Melaka, Ayer Keroh. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Ahmad Hamzah memberi makanan kepada seekor gajah pada progam sumbangan Animal Food Bank di Zoo Melaka, Ayer Keroh. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Menurutnya, MAFI prihatin turut membantu pesakit, mangsa banjir dan bencana alam sebelum ini.

"Namun kali ini, kami turut membantu Zoo Melaka serta Zoo Negara. Pelbagai buah dan sayur membabitkan jagung, batang jagung, nanas MD2, buah lai, tebu dan labu manis diserahkan kepada pihak pengurusan Zoo Melaka Ayer Keroh," katanya.

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ghazale Muhammad, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman, dan wakil Bilal Muda Alif Haiqal Mohd Haris.

Program menyantuni haiwan dan pekerja Zoo Melaka bertujuan memastikan kelangsungan kebajikan haiwan dan pekerja terus terjaga ketika PKP 3.0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 4:20 PM