TAN Sri Dr Zeti Aziz. FOTO Mohd Yusni Ariffin
TAN Sri Dr Zeti Aziz. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Sri Ayu Kartika Amri


PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) memperuntukkan lebih RM23 juta bagi membantu meringankan beban rakyat terkesan melalui pelbagai sumbangan dan bantuan sokongan untuk Covid-19.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, untuk terus membantu usaha pemulihan dan mengurangkan penularan Covid-19, PNB juga menyumbang kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (GDRN).

“Kita perlu berganding bahu bagi membendung penyebaran wabak Covid-19, PNB beriltizam untuk menghulurkan bantuan dengan apa acara sekalipun.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua barisan hadapan perubatan memainkan peranan paling kritikal dan PNB berbesar hati dapat memberi sokongan dalam bentuk peralatan perubatan penting dan bantuan kewangan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, bantuan kewangan juga sudah disalurkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pusat itu serta kepada institusi zakat bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan untuk menempuh kesulitan yang tidak pernah terjadi ini.

Beliau berkata, bagi meringankan beban perniagaan yang terjejas akibat kekangan kewangan sepanjang tempoh ini, PNB akan memberikan pengecualian pembayaran sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu penyewa di hartanah milik PNB.

Selain daripada sumbangan PNB, syarikat pelaburan PNB termasuk Maybank, Sime Darby Berhad, Sime Darby Plantation, Sime Darby Property, UMW Holdings Berhad, SP Setia, Sapura Energy, Duopharma Biotech Berhad, MIDF Berhad dan lain-lain juga melaksanakan pelbagai inisiatif.

Ini merangkumi bantuan kewangan, kepada pelbagai saluran sumbangan tabung Covid-19 seperti GDRN dan NGO seperti MERCY Malaysia, serta penajaan peralatan dan bekalan perubatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 6:52 PM