BANGUNAN KWSP Jalan Raja Laut. FOTO Aswadi Alias.
BANGUNAN KWSP Jalan Raja Laut. FOTO Aswadi Alias.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi membantu usaha bantuan dan pemulihan banjir kepada komuniti yang terjejas selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan itu akan disalurkan melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak balas terhadap bencana dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Pelaburan Kerajaan (GDRN).

"Sebagai tambahan kepada komitmen kewangan, KWSP akan menawarkan penggunaan Kampus Pembelajaran KWSP (ELC) di Bangi, yang menyediakan 152 bilik dengan kemudahan penuh, kepada mereka yang dipindahkan berikutan banjir serta perkhidmatan kecemasan yang telah bertindak balas terhadap krisis ini.

"Sebagai tanda sokongan dan solidariti, warga KWSP juga sedang mengumpul dana melalui Program Kongsi Rezeki KWSP bagi membantu mangsa banjir, selain menggerakkan sumber di cawangan KWSP di seluruh negara untuk memastikan kesinambungan perniagaan di kawasan yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 10:02 PM